Thursday, June 9, 2011

BAB MUNAKAHAT ANTARA UST. AZIZAN MB KEDAH & DS NAJIB PM MALAYSIA.

Sedang menikmati sarapan di Pasar Bandar Baru Bangi yang harga tea tariknya masih satu ringgit. Khusyuk mendengar seorang tua bekas tentera bercerita.

Berita DS Najib PM kita ingin berbesan dengan orang Kazakstan mula digodam oleh Dr Zulkifly Ahmad MP Kuala Selangor. Dia persoalkan DS Najib pergi Kazakstan tu atas urusan peribadi atau urusan kerajaan kerana ada gossip mengatakan bahawa DS Najib membawa misi pertunangan anaknya yang baru sahaja konvo dari universiti  di Amerika dengan anak bangsawan Kazakstan- dengar cerita anak sultan. Berita ini disahkan oleh KJ (Khairy Jamaluddin) Ketua Pemuda Umno samada secara sengaja atau tidak melalui twitternya (pakcik sampai la nie tak tau apa binatang twitter ni).

Tang nak kawin walaupun diperingkat antarabangsa pakcik tak komen apa-apa. Lantak pilah bak kata orang macam pakcik ni enggang sama enggang, pipit sama pipit mana boleh terbang bersama. Tapi yang pakcik nak komen ini ialah ketika krisis harga barang naik ini patutnya pemimpin yang berjiwa rakyat memberikan contoh teladan berjimat cermat macam yang selalu depa cakap tu- rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Jadi pakcik nak komen sedikit. Yang pertama belanja pergi Kazakstan tu siapa bayar? Yang kedua dalam rombongan tu pegawai kerajaan sahaja ke atau ada keluarga DS Najib ikut sama. Jangan jadi cerita macam Khir Toyo buat lawatan ke Disneyland habis satu rumah dia bawa termasuk pembantu rumah Indonesianya. Lepas tu claim duit rakyat Selangor. Yang ketiga pakcik nak komplain ialah ye lah kita ni orang melayu yang pentingkan adat. Jadi adat melayu yang datang meminang ni mestilah orang lelaki. Jadi pakcik konpius anak DS Najib ni yang nak kawin tu lelaki atau perempuan?

Sejahil-jahil pakcik ni ingat juga cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dengan keluarganya. Masa anaknya jumpa dia tanya dulu nak bincang pasal keluarga atau pasal negara. Kalau pasal keluarga tupp… lampu minyak dipadamkan sumbunya kerana kata dia minyak dalam pelita tu dari duit rakyat.

Macam tu lah pemimpin yang berjiwa rakyat. Yang tu jauh…  kita tengok yang depan biji mata kita. Hari tu Ust Azizan kahwinkan anaknya pakcik pergi. Dia ni Menteri Besar Kedah kalau nak kahwinkan anak di Kedah semua beres. Jamuan dan tempat majlis jangan ceritalah boleh buat besar-besaran kat hotel pun boleh kat dewan mana pun boleh. Belanja kalau betul la satu kupang pun tak payah keluar. Sat nanti tokey catering sponsor makan. Tokey hotel sponsor tempat. Tokey butik sponsor baju dan pelamin. Tokey printing macam hang jangan cakap la.

Tapi dia buat majlis kahwin tu kat sini (Sg. Merab)  kerana apa? Kerana nak kahwinkan anak ni hukumnya wajib. Takut nanti benda wajib bercampur dengan syubahah lain jadinya nanti.

Perbualan dengan pakcik tu berakhir bila puntong rokok kretek yang kuhulurkan tadi dah tak berasap lagi. Tea tarik yang biasa berharga seringgit menjadi dua kerana aku belanja dia minum sekali. Harga ‘ceramahnya’ tadi beratus kali ganda daripada  harga tea tarik yang dinikmati bersama.

(Komen aku : Kira okay juga pakcik ni dibandingkan dengan segelintir pensyarah disini. Nama sahaja belajar tinggi tapi otak tak berfungsi)

Monday, June 6, 2011

PARTI MENGUASI KERAJAAN. TIDAK SEMESTINYA PRESIDEN MENJADI PM.

Kata Dr. K, “Di Amerika telah lama dilaksanakan. Barack Obama bukan Presiden parti Demokrat tetapi beliau adalah Presiden Amerika. Dalam istilah parti menguasi kerajaan pemimpinnya tidak semestinya presiden parti. Beliau adalah orang yang dilantik oleh parti untuk menjalankan dasar-dasar parti dalam kerajaan yang dipimpinnya.”

“Di Iran pun begitu. Presiden Mahmoud Ahmadinejad  bukan pemimpin parti. Beliau adalah Gabenor Bandar Taheran yang telah berjaya menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang teruk di Teheran. Majlis ulamak Iran(Abadgaran) telah memilih beliau berdasarkan latarbelakang dan kecaknaan  beliau  dalam menyelesaikan masalah rakyat. Salah satu kempen beliau ialah menggunakan hasil kekayaan petrol untuk kebajikan rakyat Iran,” tambah Dr. K lagi.

“Sekarang Mohd Sabu telah menang kerusi Timbalan Presiden PAS. Adakah beliau mempunyai harapan diangkat sebagai perdana menteri jika Pakatan Rakyat Berjaya mengambil alih Putrajaya?” aku cuba untuk memancing.

“Kenapa anta cakap begitu?” Tanya Dr. K balik.

Ini yang tak seronok. Aku bertanya untuk mendapat pandangannya tetapi dia tanya aku balik.

Mata kulirik padanya sambil  mencari jawapan.

“Jika Pakatan Rakyat berjaya mengalahkan BN dan menduduki Putrajaya. Tidak semestinya presiden salah satu dari tiga parti akan dilantik menjadi PM. PKR contohnya presidennya Kak Wan tetapi umum mengetahui bahawa yang bakal dilantik adalah DS Anwar Ibrahim. Dalam kes terbaru permohonan untuk menukar hakim perbicaraan liwat telah ditolak. Mungkin keputusan telah dibuat sebelum perbicaraan dengan tidak memihak kepada DS Anwar. Dalam hal ini Pakatan Rakyat memerlukan seorang pemimpin yang dapat diterima oleh semua ahli parti dan Abang Mat mempunyai ciri-ciri itu,” kataku spontan. 

Entah bagaimana ayat itu timbul aku kurang pasti.

“Pandangan itu boleh diambil kira tetapi terlalu awal untuk dibuat penilaian,” pendek ulasan Dr. K  seolah menyembunyikan satu rahsia.

Aku berkira untuk mengajukan soalan lain. Berikutan berlaku pemilihan  pucuk pimpinan disemua kawasan adakah  mereka yang dipilih menjadi calon wakil rakyat terdiri dari mereka yang telah terpilih atau mereka yang memenuhi kehendak rakyat?  Takut soalan akan dibalas soalan balik maka aku memikirkan lebih baik dipendam sahaja persoalan itu. Namun jawapannya ku kira sudah jelas.

Friday, June 3, 2011

CERITA UG DITAMATKAN. UMNO KEHAMPAAN.

Cerita kerjaan perpaduan yang dicetuskan sejak 2008 mungkin bernoktah hari ini. Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS bersama gandingannya terdiri dari Mahfuz, Husam dan Sallahuddin dalam Muktamar PAS ke 57 memberi gambaran bahawa majoriti ahli PAS lebih terarah memperkukuhkan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN/UMNO.

Dengan keputusan ini dilihat ruang untuk memanipulasi cerita kerajaan perpaduan pas-umno semakin mengecil. Usaha untuk menghidupkan cerita ini oleh umno bakal dilihat sebagai survival politik mereka yang mengikut pandangan ramai semakin lemah terutama dikawasan bandar.

Seterusnya tumpuan PAS harus menjurus kepada mengembalikan kepercayaan orang melayu terhadap kemampuan mereka untuk menggantikan umno yang selama ini mendakwa membela orang melayu.

AKHIRNYA TARIQ BERSUARA

"Pada hari ini juga, marilah kita sama-sama berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir bersama dengan sepenuh kudrat yang kita ada. 

"Biarlah keringat kita membahasai bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi. Kita akan pertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT”

Jika ayat ini diperdengarkan Presiden PAS semasa Pelancaran Jentera Pilihanraya Selangor di Kelang tempoh hari aku percaya ramai yang segar mata tak layu dan tak tersengut.

Wednesday, June 1, 2011

Jangan jadi pandai tapi tak waras.

Sebuah kapal sedang dalam pelayaran. Kapal berkenaan mempunyai dua tingkat. Tingkat pertama menempatkan ahli di dalam perut kapal. Mereka terdiri dari anak kapal dan bilangan mereka pula lebih ramai dari yang berada ditingkat atas.  Manakala mereka yang  berada di tingkat atas adalah terdiri dari pegawai dan kapten kapal tersebut.

Oleh kerana tingkat bawah mempunyai lebih ramai orang sumber makanan dan minuman sentiasa tidak mencukupi. Dalam pelayaran dengan cuaca yang panas terik ahli yang berada di dalam perut kapal terasa dahaga. Bagaimanapun air minuman mereka telah kehabisan. Sedangkan ahli yang berada di tingkat atas mempunyai simpanan air minuman yang masih banyak. Mereka mula kebingungan.

“Kita mintalah daripada orang di atas menghantarkan sedikit air buat kita” kata seorang daripada mereka.

“Aah!! Setiap kali air kita habis, kita mesti meminta daripada mereka. Setiap hari begitu. Tidak adakah cara lain yang lebih mudah?” balas lelaki kedua.

“Buat apa susah-susah kita meminta air daripada orang di bahagian atas. Mari kita tebuk sedikit lubang di perut kapal ini. Bukankah kita kini berada di tengah terusan?” cadang lelaki kedua sambil cuba mempengaruhi ahli yang lain.

Perbincangan mereka didengari oleh orang-orang di bahagian atas kapal. Namun mereka hanya mendengar sahaja. Bagi mereka, jika lubang ditebuk dan air melimpah, yang basah adalah orang-orang di bawah.

Ahli-ahli di dalam perut kapal itu kemudiannya mengambil keputusan menebuk dinding kapal itu. Kebocoran telah berlaku. Mereka pun menikmati minuman air terusan itu dengan rakus. Hati mereka puas. Peduli apa dengan lubang yang kecil itu. Apa yang penting, tekak mereka tidak haus, sudah cukup.

Kejadian itu memang disedari ahli kapal yang berada di tingkat atas. Namun, mereka cuma memandang tanpa berbuat apa-apa. Ada juga yang bersorak kerana ahli-ahli di bawah sedang kebasahan akibat air laut yang memasuki ruang kapal.

“Padan muka mereka. Sudahlah terpaksa menebuk lubang dan meminum air terusan, pakaian mereka pula telah basah. Biarkan mereka. Lagipun, yang akan susah adalah mereka, bukannya kita. Pandai-pandailah mereka menampal kebocoran yang mereka buat itu” ujar salah seorang ahli tingkat atas.

Namun kebocoran yang semakin membesar kemudiannya menenggelamkan seluruh bahagian kapal.

Selamat Bermuktamar. Jangan tenggelam bersama.

Tuesday, May 31, 2011

HUKUM HUDUD ADA DALAM BIBLE

Perjanjian Baru Matius 18:8-9

“Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua tangan atau kaki. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata daripada kamu dibuang ke dalam neraka dengan kedua belah mata”.

Friday, May 20, 2011

Kau tak rasa Perkasa dan Umno diperbodohkan ke?

Pulohan ahli Perkasa dan Umno ternyata kecewa bila dengan tiba-tiba AMK yang mewar-warkan akan mengadakan demo depan pejabat Utusan mengubah mobilasi mereka dan menumpukan kepada demo di hadapan kedutaan Australia bagi membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan yang dimiliki syarikat Lynas yang berpengkalan di Australia.

Demo yang turut disertai oleh pemuda PAS, PSM dan beberapa NGO menaikkan sepanduk "Selamatkan Bumi, Hapuskan Radiasi" dan "Katakan tidak Pada Radiasi! Hentikan Lynas!".
 












Sementara Perkasa dan Umno dalam demo mereka menaikkan sepanduk “ Hidup Utusan” dan “Hidup Melayu”

Perbandingkan slogan ini cuba tanya generasi muda sekarang PERJUANGAN yang mana satu lebih penting?