Thursday, May 24, 2012

Masalah sampah di Selangor dan penyakit 'tuding jari'.


KUALA LANGAT 23 MEI : Kontraktor di setiap zon daerah Kuala Langat diingatkan supaya mengutip semua ‘sampah haram’ di kawasan sekitar termasuk di kawasan perumahan.
Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata pihak MDKL membayar amaun kotenjensi kepada setiap kontraktor supaya mengutip ‘sampah haram’ itu.
‘Sampah haram’ ialah bahan buangan yang tidak diletakkan di tempat pembuangan atau tong sampah yang disediakan oleh MDKL.
Katanya, dengan pembayaran terbabit pihak kontraktor diharapkan tidak lagi memberikan alasan tidak mahu mengutip sampah terbabit.
“Sebelum ini, pihak kontraktor tidak mahu mengutip ‘sampah haram’ itu berikutan MDKL tidak membayar amaun terbabit tetapi kini ia sudah dilunaskan dengan syarat tiada lagi sampah haram,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di MDKL pagi tadi.
Tambah Hafiz, penduduk setempat juga diingatkan menjaga persekitaran kawasan kediaman bagi mengelakkan sebarang ancaman penyakit seterusnya menanam sikap tidak membuang sisa pepejal sesuka hati.
Justeru, MDKL meminta penduduk menyediakan tong sampah berkapasiti 120 liter yang bertutup di setiap kediaman.
Katanya, ini memudahkan kerja-kerja kontraktor untuk mengutip sampah domestik dengan teratur.
“Banyak sampah yang dilihat mencacatkan pemandangan kerana mereka bertindak melonggokkan sampah itu dihadapan rumah mereka tanpa membuang di dalam tong sampah.
“Jadi kaedah yang disarankan itu membolehkan pengurusan sisa pepejal akan lebih teratur, bersih dan terjamin. Kami berharap orang ramai mengamalkan cara pembuangan sampah yang betul dan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata MDKL akan memberikan notis keperluan penyediaan tong sampah kepada penduduk.
“Tindakan kompaun akan dikenakan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Pungutan Pembuangan Sampah (MDKL) 2007 sekiranya mereka ingkar,” katanya.
P/S: Masalah sampah tidak akan selesai selagi semua pihak berpenyakit 'tuding jari". Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Disamping sikap sesetengah individu yang mementingkan diri sendiri. Mahu melihat halaman rumahnya sentiasa bersih tanpa memikirkan usahanya menyebabkan tempat lain dipenuhi sampah.

No comments:

Post a Comment