Lukut, Negeri Sembilan dulu
adalah sebahagian dari Selangor. Terletak antara Tanjung Tuan dan Sungai
Sepang. Ia dibuka oleh Raja Busu (keturunan raja-raja Selangor) pada kurun
ke-19 semasa pemerintahan Sultan Muhammad Shah ibni almarhum Sultan Ibrahim (Sultan
Selangor ke-3). Lukut sangat kaya dengan bijih timah dan ini mendorong ramai
orang Cina Hailam terutama dari Melaka datang melombong mengusahakan
perlombongan bijih timah.
Cukai yang dikenakan oleh Raja
Busu adalah sebanyak 10% daripada harga timah telah menjadikan beliau sangat
kaya. Namun cukai itu tidak diberikan kepada Sultan Selangor. Lama-kelamaan cukai
itu semakin bertambah hingga ke beberapa kali ganda. Kenaikan cukai itu telah
menyebabkan orang Cina menderita dan mereka beramai-ramai berjumpa dengan Raja
Busu untuk merundingkannya. Terjadi satu pergaduhan antara orang Cina yang begitu
marah melihat longgokan bijih timah yang banyak di istana Raja Busu. Dalam
pergaduhan itu Raja Busu dan keluarganya telah terbunuh. Orang-orang Melayu kemudiannya
telah membalas dendam dan membunuh ramai orang Cina.
Raja Jaafar Raja Ali seorang pembesar Melayu berasal dari Riau
berketurunan Bugis bersama anaknya Raja Juma’at dan Raja Abdullah telah datang untuk
membangunkan semula Lukut. Apabila Raja
Jaafar mangkat pemerintahan Lukut diserah kepada Raja Juma’at dan adiknya Raja
Abdullah . Raja Juma’at merupakan seorang raja yang pandai memerintah, bijaksana
dan sentiasa berusaha memperbaiki pemerintahannya di Lukut. Beliau telah
membina Kota Lukut di atas sebuah bukit bernama Bukit Gajah Mati @ Bukit Raja. Pembangunan
di Lukut satu masa dahulu diceritakan adalah jauh lebih maju dari Selangor
dengan kedai berdinding bata dan beratap genting serta deretan perumahan
pekerja lombong. Beliau turut mengadakan pasukan polis yang berpakaian lengkap
serta mempunyai nombor pada songkok mereka. Raja Juma’at turut membantu adiknya
Raja Abdullah membuka lombong bijih timah di Ampang dan Kuala Lumpur.
Raja Juma’at telah memerintah
Lukut selama 18 tahun . Beliau mangkat pada tahun 1864 dan putera gaharnya,
Raja Bot telah mengantikan beliau. Kemerosotan hasil bijih timah menjadi faktor
utama ramai penduduk Lukut berhijrah ke
tempat lain. Pada 31 Julai 1880 satu perjumpaan antara Sultan Abdul Samad, Raja
Bot, Dato’ Kelana Sungai Ujong dan pihak British telah diadakan di Singapura.
Hasilnya Lukut dimasukkan bawah pemerintahan Sungai Ujong (seterusnya Negeri
Sembilan)
No comments:
Post a Comment