Thursday, April 22, 2010

SEHARI DI HULU SELANGOR

Bertolak dari Bangi jam 2 petang setelah singgah sebentar di Seri Serdang pekena nasi dengan kari mamak di warong Malawi.. Pada mulanya bercadang  keluar ikut tol Bukit Beruntung dan seterusnya menyelusuri jalan ke Batang kali dan  ke Kg. Gumut tempat dimana PAS Serdang berpencak. Namun keputusan berubah bila Din Binjai yang ingin ditemui di Bukit Beruntung lesap. Khabarnya AMK mengadakan perlawanan bola di Felda Gedangsa.

Sebaik sahaja melepasi tol Tg. Malim bermula pandangan yang berlainan. Kelihatan pulohan ’billboard’ BN yang merapu memperbodohkan rakyat Hulu Selangor. Sesekali perjalanan terpaksa diperlahankan bagi memberi ’hormat’ kepada kontraktor yang sibuk membaiki jalan.

”Untung sungguh orang Hulu Selangor. Jadi raja semua kehendak mereka dipenuhi,” ujar Fadhli memula bicara menutup mulut penumpang lain yang terlopong melihat pembangunan ’sekelip mata’. Di Bangi jenuh menjawab aduan rakyat berkenaan jalan persekutuan yang dianak tirikan. Jalan berdekatan kilang Denso ke Sg. Merab begitu uzur terpaksa ditempuhi oleh  ribuan pengguna yang berulang alik ke Putrajaya. Sedangkan mantan Menteri yang jaga jalan raya masih bertahta disana.

Di Kalumpang  destinasi pertama kami ialah di Markas Utama PAS Selangor. Tak payah nak cari markas, cari aje surau atau masjid tentu berjumpa maskas PAS ini. Selepas menyerahkan risalah PAS Selangor bertolak ke Kg. Gumut. Ada sekatan jalanraya. Cuba bermesra dengan anggota polis yang nampak ’tension’ bertanyakan dimana Kg. Gumut? Dah terlepas terpaksa berpatah balik 1 km. Jumpa aje papan tanda ’Kg. Gumut’ tanpa beri salam terus masuk. Terlalu bersemangat barangkali. Jalan sempit hanya beri laluan pada sebuah kereta. Sedikit kecewa bila melihat rumah kampung menaikkan bendera ’dacing’. Bertambah kecewa bila didepan kelihatan 3 orang wanita separuh dewasa memakai ’vest’ biru menjalankan culaan diiringi sebuah kereta mengawasi mereka. Lantas Fadzli membunyikan hon minta laluan (kurang sopan betul Fazli ni).

Melepasi mereka tanpa menoleh terus mencari surau atau yang lebih tepat markas PAS Serdang. Terpaksa berhenti ditepi jalan menunggu mangsa untuk bertanya. Tengahari panas berpijar orang lebih suka duduk dalam rumah. Tiba-tiba kereta yang kami hon tadi berhenti didepan kami. Keluar 3 orang wanita lengkap dengan fail ditangan. Kali ini mulut kami pula yang melopong. Wanita PKR rupanya ingatkan makcik-makcik dari UMNO. Lantas kami menerpa pemandunya seorang lelaki nampak macam ustad. Dalam keadaan terkejut dan keraguan beliau memberi tahu arah kedudukan markas Kg. Gumut. Sebelum berlalu sempat juga meminta maaf kerana membunyikan hon tadi.

Sampai di markas Kg. Gumut sekali lagi kami terpingga. Tiada seorangpun ahli PAS Serdang disitu. Barangkali ikut menjalankan culaan. Kami difahamkan ada beberapa orang ahli PAS Serdang sebelum ini. Bila talipon diangkat rupanya mereka ke Kuala Kubu Baru mencula bihun sup. Tugasan pertama bermula. Kami berpecah. Dua orang dari kami Fazli dan Junaidi diarah membantu wanita PKR (dari Perak gupenya) dan dua orang lagi membantu melayan kueh dan sesekali ada pengundi yang  datang memeriksa daftar pengundi.

Muncul dua orang tetamu. Rasa macam kenal seorang darinya. ‘Ito Blues Gang’ rupanya.

“Halo brother apa khabar,” teringat zaman muda pulak. Bersalampun cara ‘blues’.

“Malam nanti bro jangan pergi mana. Ada show kat sini (Malam Seni Kesusateraan dan Keadilan) . Geng lain pun akan turun.”katanya.

“Insya Allah,” sambil melihat cermin di kereta sebelah. Melihat rambut yang mula memutih. Sejam berborak bermacam topik politik terganggu oleh panggilan dari Din Binjai. Kebetulan Fazli baru pulang mengiringi wanita PKR. Lantas kami memohon diri menuju ke Bukit Beruntung. Di pertengahan jalan terjumpa pula kedai cendol dan rojak. Tak berhenti takut kecil hati pulak Kak Timah dan 2 orang anak daranya yang berniaga disitu. Sedang menunggu cendol sampai ternampak papan tanda “Darul Atiq” tempat Ust. Ghazali Hasbullah berkampung betul-betul dilorong sebelah kedai cendol.

“Berpuloh kaset didengar rupanya disini tempatnya. Lepas ni kita singgah sekejap,” ujar Fazli.

Selepas membawa balik senyuman anak dara Kak Timah singgah sebentar melihat perkampungan Darul Atiq. Penghuni sedang menikmati juadah dalam talam.Sungguh syahdu. Ukhuwwah mereka.

Tempat pertemuan dengan Din Binjai adalah di surau Ar- Raudah kebetulan ada markas PKR disebelahnya. Sebelahnya ada projek terbengkalai. Satu lagi mercu ‘kejayaan BN di Selangor’. Markas  tiada penghuni. Yang ada adalah timbunan risalah haram BN yang semestinya tertinggal laporan isu projek terbengkalai disebelah markas itu. Apa lagi jadi unggunlah risalah tu. Membazir betul. Sambil menunggu Din Binjai kami berborak mengenai ‘billboard’ BN yang merata. Rupanya bingkainya besi bukan kayu. Koman-koamn pun RM 500 setiap satu tak masuk upah pasang. Difahamkan tender RM 5 juta dapat pada UMNO pusat yang menyebabkan Pemuda UMNO agak kecewa sikit. Kalau RM 5 juta digunakan untuk memperbaiki jalan di Bangi alangkah bagusnya.

Din Binjai muncul akhirnya menyerahkan 3 gulung bendera PAS seperti yang dipesan. Markas yang tadinya sunyi kila mula disinggahi oleh ramai orang terutamanya dari Kuala Lumpur bertanyakan program malam nanti. Yang bertanyakan jalan pun ramai juga. Barangkali tidak mengetahui semua yang ada dalam markas itu orang luar bukan orang tempatan.

Kami difahamkan Tuan Guru Hj. Hadi akan berceramah bersama Dato’ Seri Anwar di Batang Kali (ada Karnival Jualan anjuran PKR Wilayah Persekutuan). Nak balik Bangi ruginya rasanya ambil cuti 1 hari. Lalu Batang Kali sepakat dituju. Singgah sebentar di Masjid Rasa untuk Jamak Maghrib dan Isyak. Sebelahnya pun ada markas PAS tapi tak sempat nak tanya dari mana. Seusai solat arahan baru diterima menghadiri taklimat dari Pak Din. Terpaksa berpatah balik semula ke Kg. Kerliang. Menempuhi sekatan jalanraya oleh PDRM masuk kali ke-4. Polis macam dah kenal senyum, angkat tangan... jalan.

Setibanya di Kg. Kerliang ada 4-5 orang ’otai hardcore PAS’. Seperti biasa ditanyakan dah makan ke belum?

”Masih kenyang,” cuba ’cover’ sedikit.

”Ada kari kambing banyak lagi tu...”

Rasanya belum sempat ayat itu dihabiskan tiba-tiba pingan nasi dah ada ditangan. Kenyang punya pasal 2 pinggan nasi licin. Kalau ada Hj. Azizi lagi seronok.

Lepas makan baru tanya ada taklimat ke? Pukul berapa?

”Rasanya takde. Kalau taklimat IT petang tadi dah habis,” sambut Wak Marjan.

Laa.. ini mesti Pak Din salah bagi info.

“Jom kita ke Kg. Gumut. Barangkali disana taklimat yang Pak Din maksudkan.”

Benar. Taklimat sedang disampaikan oleh wakil PKR. Berbekalkan sedikit maklumat kami seterusnya memohon diri ke Batang Kali. Sebelum itu sempat berpesan pada Mejar Latip bahawa kami dari PAS Serdang akan digantikan oleh Pemuda PAS Serdang untuk tugas esok hari.

Tempuh lagi sekatan jalanraya. Seperti biasa angkat tangan, senyum dan jalan. Sampai di Rasa nampak orang ramai. Ada ceramah le tu. Tapi kena pastikan jangan termasuk ceramah BN. Dah jelas berkibar bendera PAS oleh Unit Amal maka sah ceramah Pakatan Rakyat. Singgah sebentar dengar Abang Mad berceramah. Hebat juga PAS Ampang ini boleh panggil Mohd Sabu dan Cikgu Bad.

Sewaktu mendengar ceramah Cikgu Bad sempat melihat jam. Baru pukul 10.30. Masih sempat untuk mendengar ceramah Tn. Guru Ust. Hadi. Singgah sebentar di petrol pam untuk isi minyak dan ’buang minyak’.

Sampai di Pekan Batang Kali ada ’traffic light’ belok kiri. Mula dari masuk simpang ruang meletak kereta dan penuh sampai lebih kurang 2 km. Terpaksa patah balik. Kot ada orang yang sakit perut dan dengan ehsannya meninggalkan ruang ’parking’. Jangan harap. Alhamdulillah ada rezeki kat satu simpang kecil. Boleh ’cilok’   meninggalkan sedkit ruang untuk sebarang kenderaan keluar dari simpang tersebut.

Dato’ Chua Jie Meng sedang berucap diikuti oleh Dato’ Seri Anwar dan YB Salahuddin Ayub.

”Ust. Hadi takdelah,” baru sahaja nak beritahu Fazli yang sejak tadi berada disebelah rupanya dah hilang. Talipon. Sedang tidur rupanya dalam kereta. Sambil menuju ke kereta sempat singgah di dewan orang ramai sebelah karnival. Kosong tidak digunakan. Kalau BN memerintah rasanya disitulah jentera parti ditempatkan.

Tepat jam 12 ceramah berakhir. Itu bezanya Pakatan Rakyat. Ikut undang-undang.

Belok ke kiri menuju Sungai Choh tempuh dua lampu insyarat ambil simpang kanan ke Sungai Buaya jumpa tol Bukit Beruntung.

Sampai di Bangi jam 2 pagi tak larat pekena ’3 layer’ macam selalu.


No comments: