Masih ingat cerita Hang Tuah. Difahamkan ini antara cerita paling awal dibuat warna. Sebelum itu semuanya hitam putih. Setelah Hang Tuah Berjaya membunuh Hang Jebat jelas digambarkan kekesalannya. Disebalik sanjungan orang ramai dan tentu sekali dari sultan Tuah digambarkan binggung kerana telah membunuh sahabat baiknya.
“Akukah yang betul atau Jebat yang betul”
Perdebatan mengenai siapa salah dan benar masih melingkari masyarakat sehingga kini. Dalam konteks jemaah PAS jika kita renungi sedikit sebanyak ada persamaan. Tuah dapat kita gambarkan sebagai satu watak yang begitu taat kepada ketuanya. Mengikut istilah PAS disebut ‘wala’. Berkhidmat dengan mengikut peraturan yang ditetapkan walaupun disedari atau tidak tindakannya membelakangkan kemenangan.
Manakala Jebat digambarkan sebagai satu jiwa muda yang obsess kepada memperjuangkan kebenaran. Sifat patuh kepada pemimpin dan peraturan sedia ada bersyarat.
“Raja adil dijulang raia zalim disanggah”
Lalu bertanyalah pada diri kita sendiri aku Tuah atau Jebat?
Jika Tuah diberikan kuasa melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Semuanya harus mengikut undang-undang. Sebelum melaksanakan sesuatu program perlu bermesyuarat entah berapa kali sehingga menimbulkan kebosanan. Apatah lagi sekiranya sesuatu program yang hendak dilaksanakan itu memerlukan tindakan segera. Memperbaiki longkang yang tersumbat atau memotong rumput yang telah meninggi umpamanya. Mungkin juga memberi bantuan kepada fakir miskin atau orang yang ditimpa musibah. Beberapa persoalan akan dibangkitkan kena pula mereka yang suka berhujah macam berceramah isu semasa. Sedangkan kita sedia maklum puak-puak ini jarang turun padang dalam apa-apa program yang dijalankan. Program yang dilaksanakan tidak dinafikan tertib, penuh protokol dan sering mendapat pujian perlaksanaanya.
Tetapi terubatkah derita rakyat dengan cara sedemikian? Rakyat yang telah lama menjeruk rasa lebih menghargai sekiranya permasalahan mereka diselesaikan secepat mungkin dan jika perlu seikhlas mungkin. Protokol dan birokrasi adalah dua ayat yang paling dibenci oleh mereka.
Maka Jebatlah lebih diharapkan dapat menyelesaikan permasalahan mereka. Dalam bertindak Jebat lebih mengutamakan kepantasan mencapai matlamatnya. Peduli apa dengan protokol dan birokrasi. Peduli apa dengan sanjungan dan kata puji. Kehendak rakyat harus segera dipenuhi. Tindakan sedemikian jika tidak berhati-hati bakal mengundang padah. Akan berbangkitlah beberapa pelanggaran peraturan atau tuduhan salah guna kuasa.
Jika anda orang yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Antara Tuah dan Jebat manakah yang dipilih?
Dan rakyat akan menilai “ Tuahkah yang betul atau Jebat yang betul”
No comments:
Post a Comment