Sebuah kapal sedang dalam pelayaran. Kapal berkenaan mempunyai dua tingkat. Tingkat pertama menempatkan ahli di dalam perut kapal. Mereka terdiri dari anak kapal dan bilangan mereka pula lebih ramai dari yang berada ditingkat atas. Manakala mereka yang berada di tingkat atas adalah terdiri dari pegawai dan kapten kapal tersebut.
Oleh kerana tingkat bawah mempunyai lebih ramai orang sumber makanan dan minuman sentiasa tidak mencukupi. Dalam pelayaran dengan cuaca yang panas terik ahli yang berada di dalam perut kapal terasa dahaga. Bagaimanapun air minuman mereka telah kehabisan. Sedangkan ahli yang berada di tingkat atas mempunyai simpanan air minuman yang masih banyak. Mereka mula kebingungan.
“Kita mintalah daripada orang di atas menghantarkan sedikit air buat kita” kata seorang daripada mereka.
“Aah!! Setiap kali air kita habis, kita mesti meminta daripada mereka. Setiap hari begitu. Tidak adakah cara lain yang lebih mudah?” balas lelaki kedua.
“Buat apa susah-susah kita meminta air daripada orang di bahagian atas. Mari kita tebuk sedikit lubang di perut kapal ini. Bukankah kita kini berada di tengah terusan?” cadang lelaki kedua sambil cuba mempengaruhi ahli yang lain.
Perbincangan mereka didengari oleh orang-orang di bahagian atas kapal. Namun mereka hanya mendengar sahaja. Bagi mereka, jika lubang ditebuk dan air melimpah, yang basah adalah orang-orang di bawah.
Ahli-ahli di dalam perut kapal itu kemudiannya mengambil keputusan menebuk dinding kapal itu. Kebocoran telah berlaku. Mereka pun menikmati minuman air terusan itu dengan rakus. Hati mereka puas. Peduli apa dengan lubang yang kecil itu. Apa yang penting, tekak mereka tidak haus, sudah cukup.
Kejadian itu memang disedari ahli kapal yang berada di tingkat atas. Namun, mereka cuma memandang tanpa berbuat apa-apa. Ada juga yang bersorak kerana ahli-ahli di bawah sedang kebasahan akibat air laut yang memasuki ruang kapal.
“Padan muka mereka. Sudahlah terpaksa menebuk lubang dan meminum air terusan, pakaian mereka pula telah basah. Biarkan mereka. Lagipun, yang akan susah adalah mereka, bukannya kita. Pandai-pandailah mereka menampal kebocoran yang mereka buat itu” ujar salah seorang ahli tingkat atas.
Namun kebocoran yang semakin membesar kemudiannya menenggelamkan seluruh bahagian kapal.
Selamat Bermuktamar. Jangan tenggelam bersama.
No comments:
Post a Comment