Monday, April 9, 2012

JOM BERANAK DI SELANGOR

KLANG, 8 APRIL : Banyak program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, dasar kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengutamakan kebajikan rakyat itu diberi tanpa mengira usia mahupun bangsa.
Program yang baru diperkenalkan iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’ umpamanya, membawa kegembiraan kepada ahli-ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di negeri ini.
Inisiatif tambahan itu diberikan kepada ahli TAWAS berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.
Ditemui SelangorKini pada Majlis Pelancaran program itu bagi kumpulan pertama di Econsave Kg Jawa, baru-baru ini, tiada kata-kata lain yang diucapkan penduduk, melainkan terima kasih kepada kerajaan PR dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Seorang penerima, R.Sakulthala, 42, mengakui amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kerana bantuan RM100 kepada anaknya itu dianggap amat besar.
Katanya, beliau berpuas hati seratus peratus dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu membeli barangan keperluan anaknya bagi meringankan beban suaminya.
“Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira keturunan mereka.
“Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan baju baru sebagai hadiah kepada anak saya yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya minggu depan,” katanya.
Penerima lain, Mohd Saifuddin Azlan, 35, program baru itu merupakan program yang baik kepada penduduk negeri Selangor.
Katanya, walaupun jumlah itu tidak seberapa banyak tetapi sedikit sebanyak membantu keluarga membeli keperluan anak masing-masing.
“Sebagai rakyat negeri ini, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini dan saya gembira dengan ‘hadiah’ untuk anak saya daripada Menteri Besar ini.
“Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memerintah negeri ini dengan baik dan banyak lagi manfaat dapat diberikan kepada rakyat,” katanya.
Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.
Bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.
Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun bermula kini.
Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

No comments: