Tuesday, April 13, 2010

PBT di Selangor mampu selenggara sendiri sisa pepejal: Azmin

SHAH ALAM, 13 Apr – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak perlu terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat untuk menyelenggara jalan dan menguruskan sisa pepejal di kawasan masing-masing kerana ada antara mereka yang mempunyai simpanan dan aset yang besar, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.
Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata tidak cukup peruntukan merupakan antara alasan yang sering diberikan oleh PBT berhubung kegagalan menyelesaikan masalah jalan berlubang dan kutipan sampah yang tidak teratur di Selangor.
Bagaimanapun, hasil semakan, beliau mendapati ada antara PBT di negeri itu yang mempunyai simpanan tunai dan aset bernilai beratus juta ringgit, katanya ketika membahaskan titah ucapan perasmian persidangan dewan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sebagai contoh, kata Azmin, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mempunyai simpanan tunai dan aset bernilai RM200 juta, Majlis Perbandaran Kajang RM150 juta dan Majlis Bandaraya Shah Alam lebih RM100 juta,
Beliau berkata PBT sepatutnya tidak perlu mempunyai nilai simpanan yang tinggi, hanya sekadar dua bulan daripada nilai pendapatan tahunannya.
Oleh itu beliau berkata PBT harus diberi kelonggaran supaya simpanannya boleh dicairkan bagi membolehkan mereka melakukan penyenggaraan jalan dan menguruskan sisa pepejal dengan lebih cekap.
Mengenai pengurusan sisa pepejal, beliau berkata PBT di Selangor menanggung kos RM400 juta setahun dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, umpamanya, membelanjakan 43 peratus daripada pendapatannya setahun untuk membayar Alam Flora Sdn Bhd bagi menguruskan sisa pepejal di kawasannya.
Oleh itu, Azmin berkata PBT perlu meneliti semula perjanjian masing-masing dengan Alam Flora.
“Sebagai contoh Majlis Daerah Hulu Selangor dapat melupuskan sisa pepejal dengan baik tanpa Alam Flora,” katanya.
Beliau juga kerajaan negeri perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah pelupusan sampah kerana penggunaan tapak pelupusan sampah tidak  lagi sesuai dan penggunaan insinerator juga mungkin tidak sesuai kerana ia akan membebaskan sejenis gas yang mencemar udara sekitar.
– BERNAMA

No comments: